Ibu Bapa Paling Jahat

Sangkar kucing yang menjadi tempat kurungan mangsa. Foto Agensi

SINGAPURA: Sepasang suami isteri mendera kejam anak lelaki mereka yang berusia lima tahun dengan mengurungnya dalam sangkar kucing sebelum menyimbahnya dengan air menggelegak semata-mata tidak mahu mandi, sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

Azlin Arujunah dan suaminya Ridzuan Mega Abdul Rahman, kedua-duanya 27 tahun, sering memukul mangsa termasuk menggunakan penyapu, malah kanak-kanak itu juga tempang sedikit kerana tempurung lututnya senget akibat didera, lapor Daily Mail.

Dalam hari pertama perbicaraan terhadap mereka semalam, mahkamah diberitahu mangsa dikurung dalam sangkar kucing pada 22 Oktober 2016, kerana enggan mandi sebelum bapanya mencurahkan air sepanas sekurang-kurangnya 92 Celsius pada belakang dan betisnya.

Mangsa yang identitinya dirahsiakan mahkamah, rebah dan terus tidak bergerak, tetapi ibu bapanya tidak membawanya ke hospital, sebaliknya menunggu enam jam sebelum mendapatkan rawatan.

Malangnya, dia meninggal dunia sehari kemudian dan pasangan itu ditahan susulan laporan dibuat terhadap mereka oleh pihak hospital.

Saksi pendakwa pertama yang memberi keterangan terhadap Azlin dan Ridzuan semalam, Profesor Madya Loh Tsee Foong berkata, mangsa mengalami lecuran tahap ketiga yang meliputi 75 peratus badannya, kecederaan buah pinggang akut, penyahhidratan, patah hidung, luka pada wajahnya selain lambat bertutur.

Selain itu, mahkamah diberitahu, Ridzuan Mega sebelum itu pernah menekapkan sudu yang dipanaskan pada tapak tangan mangsa kerana ‘mencuri’ susu tepung untuk dimakan.

Mangsa juga pernah dilecurkan dengan air panas sekurang-kurangnya empat kali sebelum kematiannya.

Azlin dan Ridzuan menghadapi hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup bagi tuduhan bunuh.

Mahkamah diberitahu, mangsa diserahkan sebagai anak angkat selepas kelahirannya pada 2011 tetapi kembali bersama ibu bapa kandungnya pada 2015. Mangsa mula didera kira-kira setahun selepas itu.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *