PPM Rampas 168 Tong Petrol Bernilai Lebih RM7,000 Di Semporna

Foto BESTAWAU FM/ PPM

SEMPORNA, 8 Nov: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas sejumlah 168 tong jerikin berisi 25 liter petrol dalam dua kes berasingan di sebuah kampung di sini, Rabu lepas disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata seorang lelaki tempatan berumur 47 tahun ditahan kerana disyaki menyimpan 136 jerikin minyak petrol tanpa sebarang dokumen atau permit yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kampung Kuala Bibang di sini.

“Semasa Operasi Pensura Khas, PPM Semporna bersama bahagian risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) melakukan pemeriksaan terhadap sebuah stor berkunci yang disyaki menjadi tempat penyimpanan minyak petrol bersubsidi di sebuah kedai runcit di kampung berkenaan kira-kira 11 malam.

“Tangkapan dan kesemua rampasan yang bernilai RM184,736 dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pajeri berkata pada hari yang sama, PPM Semporna telah memeriksa sebuah bot mencurigakan di kampung tersebut kira-kira 6.40 petang dan menjumpai 32 tong jerikin berisi 25 liter petrol disyaki hendak diseludup ke Filipina.

Menurutnya, kesemua rampasan termasuk satu bot dan dua enjin sangkut dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut dengan jumlah rampasan bernilai RM25,664.

Selain itu, beliau berkata PPM turut merampas enam bot disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan minyak petrol ke negara sama. 

“Bot tersebut termasuk lapan enjin sangkut jenama Yamaha dirampas dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM152,000 dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

BERNAMA

218