Peti Besi Syarikat Pemberi Pinjam Wang Berlesen Dilarikan Tiga Pencuri

Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek memecah masuk sebuah premis syarikat pemberi pinjam wang berlesen di Jalan Segama, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ media sosial

KOTA KINABALU: Tiga lelaki melarikan peti besi berisi wang tunai dan beberapa dokumen penting selepas memecah masuk premis syarikat pemberi pinjam wang berlesen di Jalan Segama, di sini awal pagi tadi.

Kejadian itu disedari oleh pengurus syarikat berkenaan selepas sistem penggera yang dipasang bersambung dengan telefon bimbitnya berbunyi, jam 4.30 pagi.

Premis syarikat pemberi pinjam wang berlesen di Jalan Segama dipecah masuk tiga lelaki dan melarikan peti besi yang berisi wang tunai serta dokumen penting. -Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Melihat melalui telefon bimbitnya mendapati premis terbabit dipecah masuk tiga lelaki tidak dikenali lalu melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata berikutan maklumat itu sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan dan siasatan.

“Hasil pemeriksaan didapati suspek memecah masuk premis berkenaan dengan mengumpil dan merosakkan mangga premis dan pintu besi hadapan untuk masuk ke dalam.

Sepasukan polis menjalankan siasatan di lokasi premis yang dipecah masuk tiga lelaki di Jalan Segama, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ media sosial

“Pemeriksaan lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek masuk ke dalam premis dan mengangkat peti besi yang berisi dokumen pinjaman milik pelanggan dan wang tunai RM1,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata, polis kini giat mengesan tiga individu terbabit manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.

Difahamkan, premis berkenaan sebelum ini menjual emas namun kini digunakan sebagai pejabat untuk urusan peminjaman wang kepada pelanggan.

SabahNewsToday

916