
KOTA KINABALU: Aktiviti riadah empat remaja mandi di Sungai Terawih Ketiau, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Mohd Hadif Farhan Zuhairul, 14, dikatakan mandi bersama rakannya di sungai terbabit.

Mangsa dipercayai cuba berenang ke tengah sungai untuk mengambil bola namun gagal sebelum tangannya dilihat terkapai-kapai lalu tenggelam.
Mangsa cuba diselamatkan rakan namun gagal, lalu meminta bantuan orang awam untuk menghubungi pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zainal Radsung @ John, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5. 29 petang dan 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat

Di Air (PPDA) Zon Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan melalui pencarian di permukaan dan dasar sungai,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Zainal berkata, mangsa ditemui oleh anggota PPDA pada kedalaman dua meter di tempat beliau dilaporkan tenggelam dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7.55 malam,” katanya.