9 Penagih Ditahan Di Kinabatangan

Syabu yang dirampas selepas kejayaan polis IPD Kinabatangan menahan sembilan penagih di daerah itu sepanjang minggu ini.

KINABATANGAN: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan menahan sembilan penagih termasuk tujuh warga asing dalam beberapa serbuan dijalankan di sekitar daerah itu bermula 1 November hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Dzulbaharin Ismail berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD itu turut berjaya merampas sebanyak 41.83 gram syabu daripada beberapa suspek.

“Sebanyak 17 operasi dijalankan sepanjang minggu ini iaitu tujuh Op Sarang dan 10 Op Payung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, empat suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan sebatan sehingga maksimum sembilan kali.

“Empat lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama dan boleh didendan maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Seorang lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun serta dikenakan pengawasan polis selama dua tahun,” katanya.

Tambahnya, semua suspek telah direman untuk siasatan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *