Pembunuhan Gajah Borneo, Segerakan Penugasan Platun Tiger

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berharap penugasan Unit Platun Tiger, Pasukan Gerakan Am (PGA) digerakkan secepat mungkin bagi membantu dan menghentikan kes pembunuhan gajah Borneo yang berlaku di Sabah.

Beliau berharap pembunuhan kejam terhadap gajah di negeri ini dapat dihentikan dengan pembabitan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi usaha mengawal keselamatan melindungi hidupan liar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew. – Foto BERNAMA

Katanya, berdasarkan laporan bedah siasat terhadap gajah yang ditemukan terapung di Sungai Kinabatangan Ahad lalu, terdapat kemungkinan haiwan berkenaan dibunuh kerana penemuan kaki gajah yang dipotong menggunakan objek tajam.

“Berdasarkan saiz kepanjangan tulang kaki gajah (ulna) yang ditemukan, kami dapat anggarkan ketinggian gajah ini sekitar enam kaki dan ia merupakan gajah separa dewasa.

“Kami tidak pasti jika gading gajah telah diambil kerana kepala gajah ini masih hilang. Bedah siasat juga mempercayai gajah ini telah mati lebih dari seminggu dan memandangkan ia terapung di sungai, sukar untuk mengenal pasti di mana gajah ini mati.

“Bagaimanapun Jabatan Hidupan Liar Sabah dan polis bekerjasana erat dalam menyelesaikan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christina berkata, berita kematian gajah itu amat menyedihkan kerana sejak awal tahun ini, Sabah sudah kehilangan 21 ekor gajah dan ia satu perkembangan yang tidak baik kerana spesis gajah ini perlu dilindungi.

Menurutnya, jika kematian gajah berlaku secara berterusan hidupan liar bersaiz besar itu akan mengalami kepupusan di Sabah.

“Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Saya tidak akan biarkan ini terjadi, kita kena bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kita tidak membiarkan gajah ini pupus seperti badak sumatera,” tegasnya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, beliau kehilangan kata-kata untuk menggambarkan insiden kematian gajah yang berlaku kerana tidak sampai dua minggu selepas penemuan bangkai gajah di sebuah ladang sawit di Beluran kini Sabah dikejutkan lagi dengan penemuan terbaharu bangkai di Sungai Kinabatangan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *