Sabah Pastikan Gajah Pygmy Tidak Senasib Seperti Badak

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew

KOTA KINABALU: Kerajaan tidak akan membiarkan spesies gajah pygmy Borneo di negeri ini berdepan nasib sama seperti badak sumbu Sumatera yang kini hanya tinggal seekor dan bakal pupus pada bila-bila masa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, menyatakan komitmennya untuk memastikan kelangsungan hidup mamalia itu terus terpelihara menerusi kerjasama pelbagai pihak berkepentingan di negeri ini.

Beliau turut berharap Platun Tiger Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah digerakkan secepat mungkin bagi membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) melindungi hidupan liar, khususnya gajah.

Ia sejajar pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador Isnin lalu, yang mengerahkan Platun Tiger dari lima batalion di negeri ini membantu menangani jenayah terhadap hidupan liar dalam usaha melindungi spesies haiwan terancam.

Jelas Christina, kes terbaru penemuan bangkai gajah terapung di Sungai Kinabatangan Ahad lalu, kira-kira dua minggu selepas penemuan bangkai gajah dengan gadingnya hilang di Beluran pada bulan lalu, adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan.

“Ia satu berita yang sangat menyedihkan saya dan ia tidak baik untuk kelangsungan hidup spesies ini. Jika berterusan, kita mungkin akan melihat satu lagi kepupusan mamalia besar di Sabah.

“Kita tidak boleh biarkan ini berlaku. Saya tidak akan biarkan ia berlaku. Kita perlu bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memastikan gajah tidak berdepan nasib yang sama seperti badak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Christina berkata bangkai gajah malang yang ditemui terapung di Sungai Kinabatangan itu dipercayai dibunuh berdasarkan penemuan bedah siasat yang mendapati kaki depannya dipotong dengan objek tajam.

Berdasarkan panjang tulang kaki yang ditemui, bangkai terbabit dipercayai adalah seekor gajah separuh dewasa dengan ketinggian kira-kira 1.5 meter.

“Kita tidak tahu sama ada gadingnya diambil kerana kepalanya hilang. Gajah terbabit dipercayai sudah mati lebih seminggu dan memandangkan ia terapung di sungai, sukar untuk kita mengenal pasti lokasi ia dibunuh.

“JHLS dan polis Kinabatangan bekerjasama rapat untuk menyelesaikan kes ini,” katanya yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Penemuan bangkai gajah terbabit adalah yang ketiga dalam tempoh tiga bulan selepas penemuan bangkai seekor gajah di hulu Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan pada 25 September lalu dan satu lagi di ladang sawit di Beluran pada 19 Oktober lalu.

Difahamkan, lebih 20 kes kematian gajah dilaporkan di Sabah setakat ini sejak Januari lalu.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *