Berubahlah Penduduk Sim-Sim, Bersihkan Kampung Anda

Vivian membersihkan bahagian kolong sebuah rumah di Kampung Sim-Sim.

SANDAKAN: Seawal pukul 7 pagi ini, Vivian Wong sudah ‘bermain’ dengan lumpur bersama pencakar sampah untuk mengorek dan mengutip sampah sarap di Kampung Sim-Sim yang telah bertimbun di situ sejak bertahun-tahun lamanya.

Ahli Parlimen Sandakan itu bersama Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, gigih mengutip sampah di dalam lumpur untuk dikumpul, dimasukkan ke dalam guni sebelum dilupuskan di lokasi sepatutnya.

Vivian membuktikan kata-katanya sebelum ini untuk membantu menguruskan kebersihan di Kampung Sim-Sim.

Walaupun masih belum sembuh sepenuhnya daripada pembedahan mata baru-baru ini, Frankie tetap gigih mengutip sampah untuk memberi contoh kepada masyarakat di situ betapa pentingnya menjaga kebersihan.

“Saya harap penduduk di sini sedar kenapa kita perlu melakukan gotong-royong mega ini kerana kita sayangkan komuniti kita. Kita juga mahu bersihkan tempat ini supaya tiada peluang untuk peyakit denggi berlaku kita mahu elakkan situasi itu, kebersihan satu perkara dan satu lagi supaya tiada apa-isu denggi selepas ini.

Sampah sarap yang bertimbun selama berpuluh tahun amat menyakitkan mata sesiapa sahaja yang berkunjung ke Kampung Sim-Sim.

“Pada saya program kebersihan terdiri daripada jangaka pendek iaitu kerja pembersihan seperti ini, jangka sederhana iaitu kita kenakan penalti kepada mereka untuk tidak buat lagi manakala jangka panjang ialah pendidikan dari sekolah dan dari rumah, apabila kita nampak anak buang sampah ajar dia jangan buang,” katanya kepada Borneo Today.

Kampung Sim-Sim yang telah wujud hampir 100 tahun merupakan salah satu ikon Sandakan dan Sabah kerana terkenal sebagai lokasi hidangan masakan laut yang sedap dan segar.

Namun, perkampungan atas air itu juga ‘terkenal’ dengan jolokan sebagai kampung sampah kerana longgokan sampah sarap yang menggunung seolah-olah tiada siapa yang peduli.

Sampah sarap yang dikutip dikumpulkan sebelum dihantar ke pusat pelupusan sampah.

Entah di mana silapnya, satu pihak mendakwa kekurangan tong sampah yang disediakan pihak berkuasa tempatan menjadi punca kepada masalah itu, bagaimanapun pihak lain mendakwa sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk di situ untuk membuang sampah terus dari tingkap rumah tanpa rasa bersalah.

Hakikatnya, masalah kawasan persekitaran yang terlalu kotor di Kampung Sim-Sim sepatutnya perlu dipikul bersama oleh penghuni di situ bersama pemimpin masyarakat bukannya menuding ke arah mana-mana pihak.

Frankie dan Vivian telah membuka laluan melalui penganjuran Gotong Royong Perdana Komunitiku Sihat hari ini untuk mewujudkan budaya menjaga kebersihan dalam kalangan
penduduk di situ.

Sampah tersebut bukan milik mereka, tetapi kedua-dua pemimpin tanpa rasa kekok turun ke lumpur mengutip sampah untuk memberi contoh kepada masyarakat bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Gotong-royong membersihkan Kampung Sim-Sim perlu selalu dijalankan.

Jika penduduk di situ masih berpandangan stereotaip bahawa pemimpin perlu turun padang, maka kedua-duanya telah membuktikannya, justeru kini penduduk Kampung Sim-Sim perlu memainkan peranan mereka.

Vivian berkata, selepas ini beliau berharap pasukannya dapat berjumpa dengan setiap penghuni di kawasan itu untuk mengetahui apa sebenarnya kesukaran yang dihadapi sehingga menyebabkan terdapat pihak yang terus membuang sampah ke dalam laut.

“Saya terjumpa payung saya sangka mungkin terjatuh dari rumah ke dalam laut tetapi bila saya periksa sebenarnya sudah patah jadi maksudnya mereka sengaja buang ke dalam laut jadi apa saya akan lakukan mungkin pergi ke setiap rumah untuk tanya kenapa adakah kerana tiada tong sampah yang sesuai. maka lebih mudah buang sahaja ke dalam laut.

Frankie bersama Foo Tin menyertai program Gotong-Royong Perdana Komunitiku Sihat di Kampung Sim-Sim hari ini.

“Saya pergi ke Pulau Berhala mereka cakap kurang tong sampah jadi di pihak kami perlu cari jalan sebagai kerajaan bagaimana perlu selesaikan masalah itu, macam mana bawa keluar sampah atau ada sistem melupuskan sampah,” katanya.

Sementara itu, program gotong-royong tersebut yang bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah disertai hampir 2,000 penduduk di situ termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kakitangan agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Sandakan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Turut hadir Presiden MPS yang baharu, Wong Foo Tin; Ahli Lembaga Pengarah LHDN, Datuk Md. Afendi Hamdan serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Abdul manap Dim.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *