Polis Marin Rampas 1,000 Telr Penyu Di Sandakan

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas sebanyak 1,000 biji telur penyu dianggarkan bernilai RM2,000 dipercayai cuba diseludup masuk untuk pasaran tempatan di Sungai Batu 3, di sini petang tadi.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, seorang lelaki didakwa memunggah telur penyu berkenaan yang disimpan dalam dua kotak dari dalam bot ke daratan.

Bagaimanapun, suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa kemudiannya melarikan diri menggunakan bot bagi mengelak dicekup.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali mengesahkan suspek meloloskan diri daripada ditangkap.

“Hasil pemeriksaan anggota bertugas menemui dua kotak berisi enam plastik berwarna hitam yang mengandungi 1,000 telur penyu.

“Kami percaya telur berkenaan di seludup dari Filipina untuk dijual sekitar Sandakan,” katanya.

Menurut beliau, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

31