Pemandu 4×4 Maut, Manakala 10 Lagi Cedera Dalam Kemalangan Di Sipitang

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tunggul Tinggi, Sipitang, petang semalam. – Foto ihsan polis

SIPITANG: Seorang pemandu pacuan empat roda maut, manakala 10 lagi terselamat dengan kecederaan ringan dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Tunggul Tinggi dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang, Salim Khan Abdul Sapar, 37, mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan.

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tunggul Tinggi, Sipitang, petang semalam. – Foto ihsan polis

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh, berkata kemalangan itu membabitkan dua pacuan empat roda iaitu Ford Ranger dan Toyota Hilux.

“Hasil siasatan awal mendapati, Ford Ranger yang dinaiki tujuh lelaki termasuk pemandu dipercayai dalam perjalanan dari arah Masapol menuju ke Sipitang.

“Bagaimanapun, kenderaan terbabit didapati hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bahagian hadapan kanan Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Mangsa yang lain hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

Champin berkata, akibat kejadian itu, pemandu Ford Ranger disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sipitang.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tunggul Tinggi, Sipitang, petang semalam. – Foto ihsan polis
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tunggul Tinggi, Sipitang, petang semalam. – Foto ihsan polis

Champin berkata, kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.12 petang.

“Seramai lima anggota bersama dua jentera dikejar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, kemalangan didapati membabitkan dua kenderaan yang bertembung.

“10 mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum jentera tiba dan seorang lagi mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba serta diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *