IPD Penampang Lipat Ganda Usaha Banteras Pengedaran Dadah

Mohd Haris Ibrahim

PENAMPANG: Polis Penampang terus menggandakan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di daerah apabila berjaya menumpaskan empat kes membabitkan bekalan dadah dalam tempoh seminggu dan terbaru seorang lelaki disyaki pengedar ditahan dan merampas dadah jenis ketamin.

Lelaki itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di perhentian bas, Jalan Yue Min, jam 11.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata bertindak atas maklumat risikan polis menahan suspek lelaki yang sedang memegang sebuah kotak di perhentian bas berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kotak itu mengandungi satu peket plastik berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin.

“Dadah ketamin seberat 21.53 gram dianggarkan bernilai RM3,150. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan pembekalan dadah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelas Mohd Haris, kejayaan ini adalah yang keempat dalam tempoh seminggu membabitkan tangkapan bekalan dadah di daerah ini.

Pada 20 Oktober, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan dan merampas 101 gram dadah jenis syabu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di Kampung Mongonibung.

Selang dua hari selepas kejadian pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang menahan seorang lagi lelaki disyaki pengedar dan merampas 7.01 gram dadah jenis syabu di sebuah taman di Putatan.

Tidak terhenti setakat itu, pada 23 Oktober lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang sekali lagi menumpaskan pengedaran dadah apabila merampas lebih 5 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM250,000 susulan penahanan seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Rampasan dadah ini adalah yang terbesar di Penampang, setakat tahun ini.

Sehubungan itu, Mohd Haris berkata pihaknya khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang sentiasa komited dalam usaha membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di daerah ini. -SabahNewsToday

22