Guru Besar Didakwa Beri Kontrak Pada Anak Dan Isteri

Tertuduh, bekas guru besar di sebuah sekolah rendah di Kunak, Syed Jaafarullah Habib Jaafar (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi kontrak kepada isteri dan anaknya membabitkan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Tawau. – Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU : Seorang bekas guru besar di sebuah sekolah rendah di Kunak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi kontrak kepada isteri dan anaknya membabitkan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) bernilai RM45,961, pada 2011.

Syed Jaafarullah Habib Jaafar, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut kertas pertuduhan, Syed Jaafarullah yang ketika itu sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Gading-Gading Kunak menggunakan kedudukannya membuat keputusan meluluskan pemberian pembekalan RMTS bagi tempoh 2011 kepada syarikat Seri Gading Enterprise milik isterinya, Zalitah Lakim dan anaknya Syarifah Adawiah Syed Jaafar yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di SK Gading-Gading Kunak pada 3 Januari 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh di hukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan iaitu tertuduh diarahkan melapor diri di pejabat SPRM Tawau dua bulan sekali, dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh dilarang mengganggu saksi SPRM.

Syed Jaafarullah yang tidak diwakili peguam dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan memandang ketika ini hanya menerima pencen dan elaun sebagai ketua kampung selain mempunyai tanggungan serta hutang yang banyak.

Mahkamah kemudiannya menetap ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan ke mahkamah.

Tertuduh juga dilarang menghubungi atau mengganggu mana-mana saksi SPRM, sama ada sebelum, semasa dan selepas perbicaraan termasuk menggunakan mana-mana orang atau pihak ketiga untuk menghubungi mana-mana saksi SPRM.

Mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh pengurusan kes manakala pada 31 Oktober ini, tertuduh diminta menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *