Bawa Arak & Rokok Seludup, Wanita Tempatan Ditahan Di Sapi Nangoh

SEORANG wanita ditahan bersama rokok seludup dan arak yang dianggarkan bernilai RM8,322. – Foto ihsan PGA

BELURAN: Seorang wanita gagal melepasi Pusat Pemeriksaan Jalan (PPJ) Sapi Nangoh, di sini selepas didapati cuba membawa rokok dan arak seludup semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 34 tahun ditahan bersama rokok seludup dan arak yang dianggarkan bernilai RM8,322.

Pegawai Memerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika kejadian, wanita itu cuba melalui PPJ Sapi Nangoh dengan memandu sebuah kenderaan bersendirian.

Katanya, anggota bertugas kemudian mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan lanjut sebelum menemui 200 bungkus rokok seludup dan 120 tin minuman keras dalam kenderaan dipandunya.

“Turut ditemui 96 botol arak di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang kenderaan itu, selain dalam bonet belakang,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, ketika diminta dokumen memiliki barangan terbabit, wanita itu gagal mengemukakannya kepada anggota bertugas.

“Wanita terbabit ditahan dan semua barangan dirampas untuk siasatan lanjut termasuk kenderaan digunakan.

Semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM15,322 dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(D) Akta Kastam 1967,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *