3 Lelaki Tempatan Ditahan Selepas Jual Minyak Diesel Milik Majikan

Lori yang digunakan suspek untuk membawa minyak diesel pengadu.

TAWAU: Tindakan tiga lelaki tempatan menjual diesel milik majikannya tanpa kebenaran sejak tiga bulan lalu membawa padah apabila mereka ditahan polis, di Sungai Umas-Umas, dekat sini awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek berusia 36 hingga 42 tahun itu ditahan pada 7 Oktober lalu di tiga lokasi berasingan.

Lokasi tempat suspek melakukan urusan jual beli diesel di Kampung Jawa dan Jalan Timur.

“Dua daripada mereka bekerja sebagai pemandu lori manakala seorang lagi adalah kelindan.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, pengadu mendakwa dia sepatutnya menerima 24,000 liter minyak diesel daripada dua buah lori yang dipandu suspek pada 5  Oktober lalu.

“Bagaimanapun, mangsa mendapati pihaknya hanya menerima 21,668 liter iaitu berkurangan sebanyak 2,332 liter dianggarkan bernilai lebih RM5,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Peter, mangsa yang berasa ditipu bertindak membuat satu laporan polis selepas percaya suspek mengaut keuntungan atas angin dengan menjual diesel tanpa kebenaran majikan.

“Bertindak atas laporan tersebut, polis menahan tiga suspek berkenaan, sebelum menahan lapan lagi individu lain termasuk dua warga Indonesia yang didakwa bertindak sebagai pembeli diesel berkenaan.

“Suspek turut menjadikan dua buah rumah di Kampung Jawa dan Jalan Timur, di sini sebagai tempat urusan jual beli diesel mereka,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan, suspek didakwa bertindak menjual diesel dengan harga RM1.50 seliter, jauh lebih murah berbanding harga syiling yang ditetapkan iaitu RM2.18 seliter.

Lokasi tempat suspek melakukan urusan jual beli diesel di Kampung Jawa dan Jalan Timur.

“Sehubungan itu, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan kerana melakukan pecah amanah,” katanya.

BorneoToday

37