Kemasukan Pelabur Ke Sabah Meningkat Sejak Setahun Lalu

KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan tepat membangunkan sektor pelancongan melalui kemasukan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) yang mencecah sehingga RM4 bilion sejak lebih setahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, dasar mesra pelaburan yang diamalkan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan menjadi pendorong kepada pelabur untuk melabur ke negeri ini selepas melihat potensi yang ada terutama sektor pelancongan.

Katanya, kejayaan tersebut juga susulan daripada kunjungan beliau ke luar negara seperti China beberapa bulan lalu untuk meyakinkan pelabur datang ke Sabah dan membantu meningkatkan ekonomi negeri.

“Saya telah ke luar negara seperti China dan beberapa tempat untuk meyakinkan mereka datang ke Sabah, kita lihat ada banyak yang telah melabur dalam kilang perabot pun ada dan saya yakin dalam bidang pelancongan jauh lebih baik.

“Saya ingat sejak kita mengambil tampuk pemerintahan sudah lebih daripada empat hotel dengan nilai pelaburan RM3 ke RM4 bilion masuk dan satu lagi ialah hotel yang bernilai RM300 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) anjuran kementerian itu di sini hari ini.

Turut hadir, Menterinya, Datuk Darell Leiking serta kakitangan MITI Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, MITI sebagai kementerian yang mempunyai agensi pelaburan perlu melihat kepentingan Sabah sebagai salah satu destinasi pelaburan dalam negara dengan membawa masuk pelabur ke negeri ini.

Katanya, sokongan daripada kementerian itu penting kerana di peringkat negeri, kerajaan akan membangunkan Pelabuhan Kudat yang bakal menjadi pusat ekonomi baharu Sabah pada masa akan datang kerana kedudukannya yang strategik.

“Saya yakin kalau kita dapat bangunkan bukan hanya daripada segi laluan tetapi juga baik pulih kapal, pembinaan kapal di situ. Hentian itu adalah jauh lebih dekat dengan Filipina, Jepun, China dan Hong Kong dan saya yakin akan menjadi lokasi yang memberi saingan di rantau ini,” katanya.

Menurut beliau, beberapa inisiatif pelaburan dalam sektor minyak dan gas juga sedang dibincangkan dengan Petronas kerana Sabah merupakan pengeluar utama sumber asli berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas tentang Hari Bersama MITI, Mohd. Shafie berkata, karnival kerjaya yang diadakan telah menarik kehadiran kira-kira 700 pencari kerja untuk mencari pelbagai peluang daripada agensi kerajaan serta syarikat-syarikat yang menyertainya.

Katanya, dalam program sehari itu, 63 pemohon telah ditawarkan pekerjaan manakala 500 lagi telah disenarai pendek.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *