TAMBUNAN: Emanuel Leo Michael yang baru berusia dua tahun kelihatan agak bingung apabila melihat sekumpulan lelaki tiba-tiba sahaja datang ke pondok usang kediaman keluarganya di sebuah kebun di Kampung Piasau, Tambunan semalam.
Pondok yang hanya berkeluasan kira-kira lima meter persegi serta berlantai dan berdindingkan buluh itu terlalu daif untuk didiami, namun di situlah tempat Emanuel membesar sejak lima bulan lalu.
Melihat kehadiran pengunjung ke pondok usang itu, kanak-kanak berkenaan segera berlari ke pangkuan ibunya, Erina Binokon, 20, yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana menghidap masalah lembam.
Bapanya, Leo Michael Martin, 41, bagaimanapun kelihatan tersenyum dan amat terharu kerana mengetahui pengunjung yang datang itu adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.
Ketika ditemui semalam, Leo Michael berkata, kemiskinan yang menimpa keluarganya membuat dia tidak mampu menyediakan tempat tinggal yang lebih baik kepada keluargnya selain pondok usang tersebut.
Katanya, sebelum ini dia menumpang rumah keluarganya yang lain, namun disebabkan tidak mahu menyusahkan mereka, dia membawa anak dan isterinya berpindah ke pondok itu yang terletak di atas tanah kebun milik abangnya.
“Di sini kami tinggal kira-kira lima bulan sudah, kami di sini jaga kebun abang saya, kalau boleh tanam sayur kami tanamlah.
“Tetapi masalah sekarang keadaan saya kurang sihat terpaksa hidup dalam keadaan begini, “katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga akan makan ala kadar sahaja setiap hari kerana hanya bergantung kepada hasil kebun dan bantuan kebajikan yang diterima setiap bulan.
Kunjungan Peter ke pondok tersebut merupakan berita gembira kepada keluarga daif berkenaan apabila beliau mengarahkan supaya sebuah rumah dibina segera dan mesti siap dalam tempoh 60 hari.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga tersebut yang diharapkan dapat meringankan beban mereka serta dapat keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Saya meluluskan berkenaan rumah baharu untuk keluarga ini agar mereka dapat mempunyai sebuah rumah sebab pondok ini tidak sesuai didiami.
“Ini bersesuaian dengan dasar kerajaan baharu untuk kesemarataan bukan sahaja untuk semua bangsa kita bantu tidak kira mereka ini daripada bangsa apa atau agama apa,” katanya.
Tambahnya, amat malang jika Emanuel yang tidak tahu apa-apa terpaksa hidup dalam keadaan daif kerana akan memberi kesan yang mendalam kepada kanak-kanak itu apabila besar nanti.
BorneoToday