Belanjawan 2020: Penduduk Sandakan Dapat Manfaat Daripada Insentif Kerajaan Wujud Peluang Pekerjaan

SANDAKAN, 11 Okt: Penduduk Sandakan terutama golongan belia dan wanita terutamanya suri rumah bakal mendapat manfaat daripada pelbagai insentif kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan, kata Ahli Parlimennya Vivian Wong.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata usaha melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini juga dapat mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Ketika kami mendapati lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pasaran buruh kami, sama ada graduan atau suri rumah kami yang sudah berhenti kerja selama lebih dari satu tahun atau lebih, ini akan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dengan ketara,” katanya.

Wong, yang hadir pada sesi belanjawan buat kali pertama di Parlimen juga menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM5.2 bilion untuk pembangunan negeri itu, yang terbesar setakat ini berbanding oleh pentadbiran terdahulu.

Beliau juga berkata semakan Geran Khas Tahunan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Seksyen 112D Perlembagaan Persekutuan menunjukkan komitmen dan keikhlasan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Geran kepada kerajaan Sabah akan ditambah daripada RM26.7 juta sekarang kepada RM53.4 juta pada 2020, dan seterusnya ditingkatkan kepada RM106.8 juta dalam tempoh lima tahun

Wong berkata pengumuman lain termasuk RM470 juta untuk projek bekalan air luar bandar di Sabah dan Sarawak, dan RM326 juta untuk rangkaian jalan luar bandar, serta komitmen kerajaan untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo akan membawa impak maksimum kepada pembangunan sosioekonomi Negeri.

“Ia mungkin tidak dapat memuaskan hati semua orang, tetapi kerajaan Pakatan Harapan sedang mengambil langkah penting untuk memenuhi janji yang dibuat kepada rakyat di Sabah dan kami akan terus melakukan yang terbaik,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *