Polis Tahan Lelaki Cabul Kanak-Kanak Perempuan Di Hotel Bajet Kampung Air

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mencabul kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun di sebuah hotel bajet Kampung Air di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek berumur 30 tahun yang bekerja sebagai pekerja am di hotel itu melakukan perbuatan terkutuk terbabit di tingkat dua hotel pada sebelah pagi.

“Kejadian berlaku semasa mangsa bersama adik lelaki dan seorang lagi saudara perempuannya berehat di bilik pekerja berikutan ibu mereka sedang bekerja ketika itu.

“Suspek kemudiannya bertindak menjilat telinga mangsa sebelum memasukkan tangannya ke dalam seluar mangsa untuk menyentuh bahagian luar kemaluan mangsa yang ketika itu sedang berbaring,” katanya.

Habibi berkata ibu mangsa yang berumur 40 tahun bagaimanapun hanya mengetahui kejadian itu apabila mangsa menceritakan perbuatan suspek semasa mereka pulang ke rumah pada jam 6 petang hari sama.

Katanya tanpa membuang masa, ibu mangsa kemudiannya ke balai polis untuk melaporkan kejadian kepada pihak polis.

“Bertindak dengan kejadian, sepasukan polis kemudiannya menahan suspek kira-kira jam 6 petang.

“Suspek kini sedang direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *