Culik: Tuntutan Wang Tebusan Tidak Akan Dilayan

KOTA KINABALU: Sebarang tuntutan wang tebusan daripada kumpulan penculik membabitkan tiga nelayan warga Indonesia tidak akan dilayan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, setakat  ini kumpulan terbabit membuat dua panggilan telefon untuk menuntut wang tebusan.

Katanya, panggilan terakhir diterima pada 30 September lepas menerusi kakak salah seorang mangsa yang berada di Sandakan.

“Suspek menuntut wang tebusan untuk ketiga-tiga mangsa terbabit.

“Difahamkan ketiga-tiga mangsa berada di satu kawasan di selatan Filipina.

“Kita akan berhubung dengan agensi keselamatan dari negara jiran untuk meminta bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini semalam.

Pada 23 September lepas, ketiga-tiga mangsa yang dikenali sebagai Maharudin Lunani, 48, anaknya Muhammad Farhan Maharudin, 27, dan anak saudaranya Samiun Maneu, 27 diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata kira-kira jam 11.55 pagi di perairan Tambisan Lahad Datu.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *