TYT Rasmi Tamu Besar Kota Belud Pada 27 Oktober

Tun Juhar (duduk tengah), Ewon (duduk kiri) dan Japlin (duduk kanan), bergambar bersama rombongan ahli jawatankuasa Tamu Besar Kota Belud selepas kunjungan hormat itu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

KOTA KINABALU: Dua pemimpin utama Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal dijangka menghadiri Tamu Besar Kota Belud, di Tapak Tamu Mingguan Kota Belud, ‪pada 27 Oktober‬ ini.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Tun Juhar pada 27 Oktober.

Ewon (kiri) dan Tun Juhar (kanan) pada kunjungan itu. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Sehubungan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Bendick mengalu-alukan orang ramai terutamanya masyarakat Kota Belud supaya hadir beramai-ramai untuk memeriahkan lagi acara dua hari itu bermula ‪26 Oktober‬ ini.

Beliau berkata pelbagai acara menarik telah disusun sepanjang dua hari Tamu Besar berlangsung, antaranya pameran pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ewon menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar. Gambar SNT/Ihsan Penerangan

“Kunjungan pada hari ini bertujuan menjemput Tun Juhar untuk menyempurnakan Tamu Besar Kota Belud ‪pada 27 Oktober‬ ini dan kami amat gembira kerana TYT menerima jemputan itu.

“Ini merupakan satu acara besar tahunan Kota Belud yang dihadiri dua pemimpin tertinggi kita iaitu TYT dan Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada TYT, di Istana Negeri, di sini, hari ini.
 
Turut serta dalam kunjungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan Datuk Japlin Akim, Pegawai Daerah Kota Belud Diyannah Abdullah dan ahli jawatankuasa Tamu Besar Kota Belud.
 
Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, pada 19 Oktober ini konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama TYT dari Kota Kinabalu ke Kota Belud sempena Hari Jadi Rasmi Tun.

“Ini juga akan menjadi tambah nilai kepada Tamu Besar Kota Belud. Kunjungan Tun Juhar ini sangat bermakna bagi penduduk Kota Belud, sebab itu kami akan membuat persediaan sebaiknya,” katanya.
 
Sementara itu ketika ditanya harapan untuk Bajet 2020 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, Ewon berkata, kementeriannya berharap diberikan peruntukan lebih besar berbanding tahun ini untuk mensejahterakan rakyat luar bandar Sabah.
 
“Kita telahpun mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Datuk Seri Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan) supaya keperluan-keperluan pembangunan di Sabah dapat dimasukkan sebagai input oleh KPLB Persekutuan dalam penyediaan bajet ini.
 
“Input kerajan Sabah melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telahpun kita sediakan sejak awal tahun lagi supaya UPEN dapat memanjangkan input ini kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
 
“Saya berharap lebih besar peruntukan diberikan kepada kita dalam Bajet 2020 terutamanya dalam pembinaan infrastruktur asas seperti jalan luar bandar, Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), kemudahan sekolah dan klinik luar bandar,” katanya.
 
Ewon berkata selain input sedia ada yang diberikan setiap tahun, KPLB Sabah juga memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar peruntukan BELB Alternatif, BALB Alternatif dan rumah Bina Baru PPRT turut diberi perhatian.
 
“Saya berpendapat, keperluan di Sabah bukan baikpulih rumah tetapi pembinaan rumah baru, oleh itu saya berharap semua input ini dapat dimasukkan dalam Bajet Kerajaan Persekutuan 2020,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *