KY Mustapha Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Sempena Hari Jadi TYT

KY Mustapha

KOTA KINABALU: Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk KY Mustapha mendahului senarai 1,423 penerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat sempena sambutan Ulang Tahun Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) ke-66.

KY Mustapha antara tiga penerima anugerah tertinggi negeri iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima’.

Turut tersenarai sebagai penerima anugerah SPDK adalah ahli perniagaan Tan Sri Joseph Lo @ Lo Tain Foh dan Datuk Marcel Leiking, iaitu mantan Pembantu Menteri semasa zaman BERJAYA dan juga ayah kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Manakala, isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Amarjit Singh dan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mugutan Vanar tersenarai antara 68 penerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Turut tersenarai sebagai penerima PGDK adalah aktivis sosial Anne Keyworth, yang mendedikasikan hidupnya bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan wanita yang terjebak dalam kegiatan pelacuran.

Anne atau lebih dikenali sebagai Mama Anne adalah Pengasas kepada Rumah Amal Bukit Harapan. Wanita yang berasal dari Pulau Pinang ini menghabiskan masa lebih 40 tahun membantu kanak-kanak kurang bernasib baik terutama Orang Kelainan Upaya.

Penerima lain yang berada dalam senarai PGDK termasuk Pengarah Jabatan Penjara Sabah & Labuan Suria Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilantik Loretto S. Padua, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Sabah Jauteh Dikun serta Pengasas dan Pengerusi Orangutan Appeal UK Susan Ann Sheward.

Turut menerima anugerah PGDK adalah Pengarah Jabatan Kerja Raya Richard Jomiji, Pengarah Koperasi Pembangunan Desa Honorsius Bosuin, Ang Kian Chong @ Dzaqoff Ang atau dikenali sebagai Uncle Chang serta mantan Pengarah Hospital Queen Elizabeth Heric Corray.

Sementara Peguam Besar Negeri Datuk Zaleha Rose Pandin, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dan mantan Presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLA) Brendon Keith Soh antara 16 penerima dianugerahkan dengan Jaksa Pendamai (JP).

Manakala, 75 orang yang berada dalam senarai penerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) termasuk Al Hambra Juhar, anak kepada TYT Sabah, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga dan Ketua Pegawai Eksekutif Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang Geaneve Samil.

Turut menerima anugerah ASDK adalah Pengetua Sekolah Menengah (SM) ST Micheal Jennifer Asing, Pegawai Polis Kanan DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah dan Asisten Komisioner Nasri Mansor.

Mejar Mohd Zamir Armaya (mendiang) yang terbunuh semasa demonstrasi tembakan di Kem Lokkawi serta mantan atlet lompat jauh negara Ramjit Nairul antara 271 penerima yang menerima anugerah Ahli Darjah Kinabalu (ADK).

Bintang Setia Kinabalu (BSK) diberikan kepada 456 penerima dan 324 penerima Bintang Kinabalu (BK) dan 210 penerima Bintang Kehormat (CH).

BorneoToday