PSS Lebih Baik Daripada Berdiam Diri Seperti Kerajaan Lama

KOTA KINABALU: Hanya berdiam diri tanpa mengambil apa-apa langkah menguruskan warga asing yang ada di negeri ini seperti dilakukan kerajaan Barisan Nasional atau perlu bertindak mengatasi masalah yang timbul agar tidak memudaratkan?

Demikian persoalan ditimbulkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kepada golongan yang masih berterusan mempersoalkan pengeluaran Pas Sementara Sabah (PSS) walaupun banyak penjelasan telah diberikan sebelum ini.

Mohd Shafie berkata, beliau boleh sahaja duduk diam dan membiarkan isu berkenaan berlarutan seperti dilakukan pemimpin terdahulu, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawb jalan penyelesaian perlu diambil seperti pengenalan PSS.

“Kalau kita tidak pandai mengurus seperti kerajaan dulu biarkan saja, kerajaan sekarang boleh biarkan saja jadi isu, hanya bercakap mengatakan Sabah ramai PATI atau seumpanya ini boleh jadi satu isu sahaja.

“Tetapi kalau tiada jalan penyelsaian, hanya mengetahui masalah tanpa penyelesaian itu bukanlah cara untuk maju ke hadapan, bagi kami sebagai pentadbir, sebagai pemerintah di negeri ini kita perlu memainkan peranan mengurus tadbir bukannya hanya mendendangkan isu di media sosial tanpa penyelesaian,” katanya ketika ditanya tentang isu berkenaan.

Beliau ditanya tentang satu petisyen di laman web change.org yang mengumpul tandatangan rakyat negeri ini secara dalam talian sebagai tanda bantahan kepada langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan PSS.

Bulan lalu, KDN memutuskan Jabatan Imigresen Sabah akan mengeluarkan PSS untuk menyelaraskan tiga dokumen yang diberikan kerajaan terdahulu kepada warga asing yang telah berpuluh tahun menetap di Sabah iaitu Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), Kad Burung-Burung dn Sijil Bancian.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak pernah dihentikan, malah setiap tahun ribuan golongan itu dihantar pulang ke negara asal mereka.

Bagaimanapun, Ketua Menteri berkata, untuk menghantar warga asing yang memegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Bancian tidak mudah kerana banyak implikasi menyebabkan masalah tersebut berterusan sejak puluhan tahun lalu.

Berikutan itu katanya, PSS diperkenalkan untuk mengesan kembali kesemua pemegang ketiga-tiga kad berkenaan agar kerajaan dapat mengawal selia mereka termasuk mengisi keperluan dalam sektor pekerjaan.

“Pertama sekali ini di bawah Kementerian Dalam Negeri dan saya pengerusi bersama, sebelum ada pun apa-apa usaha yang kita lakukan memang sudah pun ada pandangan negatif.

“Sekurang-kurangnya kerajaan yang ada hari ini cuba selesaikan, yang dulu cakap saja tidak ada usaha untuk selesaikan bagaimana untuk memastikan supaya pendatang yang ada sama ada berdaftar atau tidak dapat diurus dengan baik kerana kalau kita tidak mengurus dengan baik bagi dokumen itu dan tahu di mana mereka, itu lebih baik daripada kita tidak tahu siapa mereka dan berada di mana,” tegas beliau.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *