Hukuman Maksima Perlu Dikenakan Terhadap Pembunuh Gajah Pygmy – Christina Liew

TARAKAN, INDONESIA: Kerajaan Sabah mahu pihak terlibat dalam pembunuhan kejam gajah pygmy dewasa di Sungai Udin, Dumpas Kalabakan, Tawau ditangkap dan dikenakan hukuman semaksima mungkin.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, sekiranya pihak yang terlibat ini adalah sindiket maka, pihak berkuasa akan cuba mengesan mereka agar hukuman setimpal dikenakan.

“Kita akan berusaha menjejaki pembunuh ini. Tindakan mereka sangat tidak berperikemanusiaan dan kejam. Cara pembunuhan gajah ini tidak boleh dimaafkan.

“Sebanyak 70 kesan tembakan di badan gajah itu mencerminkan pihak terlibat lebih dari seeorang.

“Kita percaya mungkin terdapat empat orang yang terlibat dalam membunuh gajah ini menggunakan senapang,” katanya ketika ditanya mengenai kes kematian gajah pygmy borneo di Sungai Udin, Dumpas Kinabatangan, Tawau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Lawatan Kerja Ketua Menteri & Delegasi Sabah ke Kalimantan Utara, di sini pada Rabu.

Kini, Kerajaan Sabah dengan sumbangan seorang individu dan Orangutan Appeal UK menawarkan ganjaran RM30,000 untuk sesiapa yang tampil memberi maklumat mengenai pembunuhan ini.

Pada tengahari Selasa, Jabatan Hidupan Liar (JHL) telah mengadakan perbincangan bersama pihak polis untuk mengenalpasti langkah terbaik untuk menjejaki pembunuh ini.

“Saya berharap JHL dengan kerjasama polis dapat menangkap pembunuh gajah ini secepat mungkin.

“Saya sangat sedih dengan insiden yang berlaku. Walaupun berada jauh dari Sabah tetapi saya memantau perkembangan insiden ini setiap jam. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga sentiasa memaklumkan perkembangan kes ini kepada saya.

“Gambar yang saya terima dimana gading gajah dipotong, itu sangat kejam,” ujarnya.

Menurutnya, Sabah kini mempunyai 1,500 ekor gajah pygmy borneo dan hidupan liar yang dilindungi itu perlu terus dijaga dan dipelihara agar ia tidak pupus.

BorneoToday