Sabah-Kalimantan Perlu Berkongsi Bangunkan Industri Minyak & Gas

Mohd Shafie bersama Mulyono (kanan) semasa sesi taklimat mengenai Operasi Pertamina Refinery Unit V Balikpapan.

BALIKPAPAN (Indonesia Kalimantan): Kerajaan Sabah melihat terdapat keperluan untuk Malaysia, Sabah dan Kalimantan, Indonesia bekerjasama dalam industri minyak dan gas bagi membolehkan Kepulauan Borneo muncul sebagai pengeluar minyak terbesar di rantau Asia.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau percaya jika tiga negara pengeluar minyak iaitu Malaysia, Sabah; Kalimantan, Indonesia dan Brunei Darusssalam bersatu membangunkan industri minyak dan gas di rantau ini, ia akan menjadikan Kepulauan Borneo berada jauh dihadapan.

Mohd Shafie, isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob (lima kiri), Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani (lima kanan) dan Mulyono (empat kanan).

“Sekiranya rantau ini dapat meningkatkan kerjasama dengan rapat dan tidak beroperasi secara sylo (bersendirian) maka, kita akan dapat manfaat yang lebih maksimum.

“Pasaran industri minyak dan gas ini cukup besar. Jadi jika kita boleh menembusi pasaran itu sebagai satu global player, berkemungkinan kita boleh muncul sebagai pengeluar terbesar minyak di dunia.

“Maka, kita kena lihat bagaimana landasan yang boleh dimanfaatkan oleh Petronas (Malaysia) dan Pertamina, iaitu syarikat pengendali minyak terbesar Indonesia,” katanya ketika sesi Taklimat Bersama Pertamina, di sini pada Selasa.

Menurutnya, Presiden Indonesia Jokowi Widodo juga ada menyuarakan tentang kemungkinan kerjasama Petronas dan Pertamina.

Dengan saranan sebegitu, beliau percaya langkah kerjasama antara Petronas dan Pertamina itu merupakan sesuatu yang perlu disambut dengan baik.

Beliau berkata, Petronas sudah menjalin hubungan kerjasama dengan pelbagai syarikat minyak antarabangsa seperti Shell dan BP jadi, beliau yakin kerjasama dengan Pertamina ini mampu direalisasikan kerana masih banyak sumber minyak dan gas yang boleh diterokai bersama.

Untuk itu, Mohd Shafie akan bertemu dengan Presiden Petronas bagi melihat bagaimana pendekatan yang boleh diambil dalam menjalin kerjasama ini agar bukan hanya negara Malaysia dan Petronas mendapat kebaikan malah, Sabah juga akan memperolehi manfaatnya.

Katanya, Sabah mempunyai sumber minyak dan gas yang memberikan hasil kepada negara maka, sekiranya sumber itu dimanfaatkan, ianya bukan hanya memberikan hasil segi kewangan tetapi mampu menyumbang untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie mahu kerjasama dalam aktiviti hiliran minyak dan gas turut dilaksanakan bersama Kalimantan, Indonesia.

Beliau berkata, Indonesia mempunyai kawasan pertanian yang sangat luas, sekiranya baja boleh dihasilkan secara bersama antara Sabah dan Kalimantan, ia sudah cukup baik.

“Kini kita mengimport baja dari luar. Jika kita boleh mengeluarkan baja kita sendiri, kenapa tidak? Kita boleh menghasilkannya.

“Itu yang kita lihat keupayaan kita di SOGIP, Sipitang. Kita sudah mempunyai landasan di situ,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, dalam abad ke-21 ini Sabah sedang menuju ke arah keselamatan makanan jadi penggunaan baja ini amat tepat pada masanya.

Katanya, memandangkan Kalimantan mempunyai kawasan tanah yang luas maka, selain mengeluarkan minyak dan gas mereka boleh menghasilkan produk pertanian dalam kuantiti yang lebih banyak.

“Kita tidak boleh bergantung kepada satu produk sahaja, kita kena perluaskan asasnya agar apabila harga minyak tidak stabil, kita masih memperolehi hasil dari sumber lain. Industri makanan ini antara satu daripada sumber yang memerlukan penggunaan beberapa komponen baja,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertamina Mulyono berkata, kunjungan Ketua Menteri Sabah ke Balikpapan itu antara langkah awal kepada usaha mengembangkan kerjasama antara Pertamina dan Petronas.

“Saya percaya melalui kunjungan ini sudah tentu banyak potensi perniagaan yang boleh dikembangkan demi manfaat kedua-dua pihak,” katanya.

Pertamina menerusi Pusat Refinery V (5) Balikpapan sedang berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran minyaknya daripada 260,000 tong/hari kepada 360,000 tong/hari.

47