Ketepikan Perbezaan Ideologi Politik Pertahan Hak Sabah

Ahli politik Datuk Seri Anifah Aman (tengah) bersama Datuk Jeffrey Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee hadir pada sesi ceramah Perpaduan Politik Demi Kepentingan Rakyat Sabah di Ming Garden Hotel & Residences, Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu terus bersatu padu dan mengenepikan perbezaan ideologi politik serta kaum ke arah mencari titik penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi ketika ini.

Bekas Menteri Luar, Datuk Anifah Aman berkata meskipun Sabah amat memahami dan sentiasa bertolak ansur dalam beberapa perkara namun kepentingan serta hak negeri itu perlu dipertahankan.

Menurut Anifah perkara berkaitan kepentingan serta hak rakyat Sabah tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak di negeri ini kerana ia melibatkan masa depan anak-anak tempatan.

“Untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul di Sabah ketika ini kita harus melakukannya bersama seperti yang saya katakan kita menyokong Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan usaha kerajaan negeri menyelesaikan isu pendatang tanpa izin (PTI).

Seramai 300 orang hadir pada sesi ceramah yang bertajuk Perpaduan Politik Demi Kepentingan Rakyat Sabah di Ming Garden Hotel & Residences, Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kebimbangan rakyat Sabah khususnya berkaitan isu PTI wajar diambil serius oleh kerajaan kerana kita khuatir dan tidak mahu anak-anak tempatan kita menjadi pendatang di negeri sendiri,” katanya kepada pemberita dalam Program Bicara Perpaduan Demi Kepentingan Rakyat Sabah di sini hari ini.

Mengenai program itu Anifah menjelaskan ia bertujuan membincangkan situasi semasa yang berlaku khususnya di Sabah daripada panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan veteran politik.

Ditanya berhubung isu royalti minyak, Anifah berkata kerajaan Persekutuan digesa sekurang-kurangnya membayar 10 peratus kepada negeri ini berbanding hanya lima peratus.

Dalam pada itu Anifah berkata sebelum pilihan raya umum lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjanjikan pelbagai perkara kepada rakyat.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana setelah menjadi kerajaan Guan Eng gagal menunaikan janji dan mendakwa negara tidak mempunyai wang.

“Mereka (rakyat) bimbang tentang keadaan yang kita hadapi sekarang .. dan itu boleh mengubah landskap politik Sabah.

“Sehubungan itu menerusi perbincangan umum seperti ini kita berharap ia mampu memberi pemahaman kepada rakyat bahawa jika kita bersatu padu Sabah akan menjadi negeri yang lebih baik dan stabil,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *