Pelajar Lemas Ketika Mandi Di Air Terjun Kionsom

Lokasi dipercayai tempat mangsa dan rakannya mandi sebelum ditemui lemas. – Gambat SNT/Ihsan JBPM

KOTA KINABALU: Seorang pelajar perempuan ditemui lemas ketika mandi bersama beberapa rakannya di Pusat Pelancongan Air Terjun Kionsom, Inanam pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Hazlina Midon, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolombong, dikatakan berenang di kolam air terjun berkenaan sebelum disedari terapung tidak sedarkan diri.

Anggota bomba turut dibantu orang awam mengangkat mayat mangsa lemas di lokasi ditemui. – Gambar SNT/Ihsan JBPM

Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu segera menarik mangsa keluar sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.28 pagi sebelum mengerahkan sebuah jentera bersama sembilan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa diberikan rawatan awal daripada pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth yang hadir memberi bantuan sebelum disahkan meninggal dunia.

Anggota bomba mengusung mayat pelajar ditemui lemas di Pusat Pelancongan Air Terjun Kionsom Inanam. – Gambar SNT/Ihsan JBPM

“Anggota bomba kemudiannya bertindak mengangkat mangsa keluar ke jalan besar menggunakan alat pengusung daripada lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi menyelamat tamat pada pukul 11.50 pagi,” katanya.

SabahNewsToday