MESTECC Terima Surat Bantahan Pembinaan Empangan Papar

Isnaraissah Munirah ketika sidang media selepas menyempurnakan Taklimat Pengurusan Aduan Pencemaran Alam Sekitar Kepada Ahli Parlimen (MP), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Peringkat Negeri di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) mengesahkan menerima surat bantahan berkaitan pembinaan Empangan Papar daripada wakil penduduk kampung di daerah itu.

Timbalan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata pihaknya menerima surat berkenaan beberapa minggu lalu bagi menyatakan bantahan terhadap pembinaan empangan terbabit.

“Mereka menyatakan kebimbangan mengenai banjir akan melanda kawasan berkenaan jika projek diteruskan.

“Walaupun projek ini di bawah kerajaan negeri namun kita tetap ambil perhatian aduan orang kampung dan sudah maklumkan kepada menteri MESTECC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Taklimat Pengurusan Aduan Pencemaran Alam Sekitar Kepada Ahli Parlimen (MP), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Peringkat Negeri di sini, hari ini. 

Yang turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Assaffal P Alian dan Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Jennifer Lasimbang.

Dalam pada itu, Isnaraissah Munirah berkata Penilaian Impak Persekitaran (EIS) berkaitan projek terbabit adalah dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah namun belum terdapat sebarang tindakan mengenainya dibuat setakat ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony mengumumkan pembinaan Empangan Papar yang dijangka bernilai RM3 bilion.

Empangan berkenaan dianggarkan berupaya menampung 1,000 juta liter sehari (MLD) sekaligus dapat menyelesaikan masalah air di kawasan Papar, Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran.

Empangan sama juga bakal menjana 100 kilovolt-amphere (kVA) kuasa elektrik yang boleh menampung keperluan dari Papar sehingga ke Kota Kinabalu. – SabahNews Today