Keakraban Hubungan Malaysia, Brunei, Indonesia Diperkukuh Menerusi Budaya

KOTA KINABALU, 26 Sept: Keakraban hubungan sedia ada antara Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia perlu diteruskan kerana mempunyai potensi membangunkan ruang-ruang sosial dan budaya antara ketiga-tiga negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara penting supaya dalam mengejar kepentingan ekonomi, keselamatan dan keutuhan wilayah, hubungan “adik-abang’ yang berkonsepkan budaya serumpun diharapkan mampu terus bertahan.

“Sesungguhnya persamaan kebudayaan serantau khususnya melibatkan tiga negara ini begitu akrab dan telah terjalin sejak sekian lama.

“Persamaan yang dimiliki juga seharusnya perlu menjadi tunjang merapatkan lagi hubungan antara rakyat ataupun pendengar (radio) di negara masing-masing,” katanya ketika merasmikan Program Bermukun Seborneo anjuran Radio Televisyen Malaysia, Radio Televisyen Brunei dan Radio Republik Indonesia di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Ariffin Asgali.

Yang turut hadir Pengarah RTM Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi, Konsul Jenderal Konsulat Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani dan Konsul Muda Agong Negara Brunei Darussalam Pengiran Runa Pengiran Maslan.

Justeru, Mohd Shafie yakin penganjuran program Bermukun Seborneo ini berupaya mencapai matlamatnya di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ketiga-tiga negara terlibat.

Terdahulu, Malinaziah dalam ucapannnya berkata program Bermukun Seborneo ini adalah acara tahunan diadakan secara bergilir-gilir antara stesen penyiaran terlibat yang bertujuan mengeratkan perpaduan kalangan pendengar radio di tiga negara.

Ia juga dapat menjalinkan hubungan baik antara tiga negara melalui irama bermukun yang mempunyai persamaan budaya dan bahasa.

Bermukun adalah acara berbalas pantun sambil berdendang yang popular dalam kalangan suku kaum Melayu Sarawak, Brunei dan Kedayan serta melibatkan irama tradisional seperti joget, zapin dan inang ketika berbalas pantun.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *