Pejalan Kaki Maut Dilanggar Lari

Mayat mangsa ditemukan terbaring di atas jalan raya

BELURAN: Seorang pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari oleh kenderaan di Kilometer 3, Jalan Beluran-Telupid, berhampiran Taman Palantung, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Rosli berumur lingkungan 30an meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam keadaan mabuk sedang berjalan kaki di tempat kejadian, iaitu satu kawasan selekoh.

“Kenderaan yang telah melanggar mangsa terus meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, orang awam yang menjumpai mangsa terbaring di atas jalan raya terus menghubungi pihak polis untuk tindakan tindakan lanjut.

“Setakat ini, belum ada maklumat berkaitan kenderaan yang telah melanggar mangsa,” katanya.

Pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran meminta bantuan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian itu untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.