(VIDEO) Aksi Memukau Penjaga Gol ‘Terbang’

Gad (kiri) melakukan tandukan menyelamatkan keadaan.

Tindakan penjaga gol kelab Enppi SC, Mahmoud Gad, 22, menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi dengan cara akrobatik tular di media sosial.

Dia melakukan tindakan memukau itu ketika kelabnya bertemu Pyramids dalam saingan Liga Mesir di Kaherah, kelmarin.

Sewaktu pemain lawan melambungkan bola ke kawasannya, Gad meninggalkan gawang sebelum melakukan tandukan terbang untuk menyelamatkan keadaan.

Bagaimanapun bola itu tidak sampai kepada rakan sepasukan sebaliknya singgah di kaki pemain lawan yang pantas melakukan voli ke arah pintu gol.

Gad kemudian bangun sebelum memecut laju kembali ke kawasan pintu golnya dengan melakukan gaya Superman menumbuk bola keluar melepasi palang gol.

Dia berjaya melakukannya dengan dia sendiri menerjah ke dalam pintu gol.

Bagaimanapun, tindakan wiranya itu tidak membantu apabila pasukannya tewas 4-0.

Apapun, aksi Gad mendapat perhatian peminat serta pengulas sukan di serata dunia.

Pemain legenda England Gary Lineker: “Penjaga gawang luar biasa.”

Seorang pengguna Twitter menulis: “Kawalan gol hebat dari Mesir.”

Seorang lagi menulis: “Penjaga gol. Pertahanan. Sweeper. Penjaga gawang membuktikan barisan pertahanan di Mesir.” – Agensi