Produk Herba Bernilai Lebih RM14 Ribu Gagal Diseludup Ke Indonesia

Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 800 botol produk kesihatan jenis herba bernilai RM14,850 disyaki cuba diseludup ke Indonesia. Gambar Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Sebanyak 800 botol produk kesihatan jenis herba yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM41,850 dirampas disyaki cuba diseludup ke negara Indonesia, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya menemui kotak berisi produk kesihatan terbabit di jeti CIQ Lama, dekat sini, pukul 11.30 pagi.

“Ketika itu kita sedang menjalankan Operasi Gelora di perairan terbabit dan menemui kotak berhampiran jeti.

“Hasil siasatan di dalam kotak itu, kita menemukan 800 botol produk kesihatan jenis herba dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran, Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pemilik barangan terbabit tidak dapat dikesan disyaki melarikan diri sejurus melihat kehadiran pihak penguatkuasa.

“Semua barangan bernilai RM14,850 itu dirampas dan diserah kepada Jabatan Farmasi KKM bagi siasatan berhubung bagaimana produk kawalan berkenaan boleh diperoleh individu dalam kuantiti yang banyak.

“Kes disiasat dibawah Akta Farmasi 1951,” katanya.

SabahNewsToday