Kes Culik Nelayan: Polis Sabah Sedang Tunggu Maklumat Pihak Keselamatan Filipina

KOTA KINABALU, 23 Sept: Polis Sabah masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa keselamatan Filipina berhubung kejadian tiga nelayan dipercayai warga negara jiran diculik di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu, pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata setakat ini belum ada pengesahan diterima daripada mana-mana pihak keselamatan Filipina berhubung kes berkenaan.

“Kita tunggu (maklumat pengesahan pihak keselamatan Filipina),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Omar berkata mengikut saksi kejadian, kes penculikan tiga nelayan itu berlaku kira-kira jam 11.50 pagi selepas melihat sebuah bot ditunda oleh salah satu bot pam digunakan suspek ke kawasan perairan Tawi-Tawi, selatan Filipina.

“Ada nelayan lain menghubungi Bilik Gerakan Marin di Sandakan bahawa ada ternampak bot itu dan anggota marin kemudian pergi (melihatnya) dan mendapati kru bot sudah tidak ada,” katanya.

Omar berkata polis sedang mendapatkan saksi-saksi kejadian termasuk pemilik bot untuk siasatan lanjut, dan siasatan masih diteruskan.

Sebelum ini, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali yang dihubungi Bernama telah mengesahkan berlaku kejadian penculikan di perairan Tambisan, dekat Lahad Datu.

Ketiga-tiga nelayan itu dipercayai diculik di perairan Geem Reef oleh tujuh lelaki bersenjata dan telah dibawa ke selatan Filipina.

BERNAMA