Culik Di Lahad Datu: Pihak Berkuasa Gerakkan Aset

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Datuk Hazani Ghazali (kanan). – NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sudah menggerakkan semua aset bagi mengesan kumpulan dipercayai menculik tiga nelayan di perairan Lahad Datu, berhampiran sempadan selatan Filipina, hari ini.

Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27, warga Indonesia dan dipercayai diculik kira-kira jam 11.50 pagi tadi.

Menurut sumber, sebaik saja mendapat maklumat, pasukan keselamatan melakukan pencarian sebelum menemui bot kosong dengan enjin masih hidup di perairan berkenaan.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan sudah berhubung dengan pihak keselamatan Filipina.

“Berdasarkan siasatan awal, tiga mangsa disyaki diculik tujuh lelaki bersenjata, sebelum melarikan diri ke arah perairan Pulau Tawi-Tawi, di selatan Filipina.

“Kita sudah menggerakkan semua aset dan berhubung dengan pihak keselamatan Filipina,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *