Tiga Rumah Dirobohkan Dipercayai ‘Port’ Pengedar Dadah

Operasi merobohkan rumah dijalankan menerusi Operasi Bersepadu bagi membanteras aktiviti dadah di Lahad Datu. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Tiga rumah setinggan disyaki dijadikan sarang aktiviti pengedaran dan penagihan dadah dirobohkan di Kampung Desa Bajau, Fasa Dua, dekat sini semalam.

Kerja merobohkan rumah itu dijalankan sepasukan polis menerusi Operasi Bersepadu bersama Majlis Daerah Lahad Datu, Sabah Electiricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Air bermula pukul 7.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Pasukan polis, Majlis Daerah Lahad Datu, SESB, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Air bertindak menjalankan kerja-kerja merobohkan rumah disyaki sarang mengedar dan penyalahgunaan dadah. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata operasi dijalankan sebagai langkah membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah berlaku secara berterusan di lokasi berkenaan.

“Tiga rumah yang dijadikan sarang aktiviti menjual dan menagih dadah dirobohkan oleh petugas dari Majlis Daerah Lahad Datu selepas pihak polis menahan empat lelaki terbabit dadah di dalam rumah berkenaan.

“Pihak SESB kemudian membuat pemotongan sementara bekalan elektrik semasa operasi berjalan dan merampas wayar elektrik yang dipasang secara haram di sekitar lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Antara rumah setinggan yang dirobohkan Majlis Daerah Lahad Datu selepas pihak polis menahan empat lelaki terbabit dadah di rumah berkenaan. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Dalam pada itu, beliau berkata pihak Jabatan Perhutanan turut berada di lokasi bagi mengenalpasti rumah setinggan yang didirikan secara haram di kawasan hutan simpan dan menentukan kawasan sempadan hutan simpan bakau.

“Kerja-kerja merobohkan rumah berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

“Empat lagi rumah di lokasi berkenaan akan dirobohkan dalam masa terdekat selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah,” jelasnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *