Sabah Bakal Ikat Empat Pemain Baharu Hadapi Saingan Liga Super

KOTA KINABALU: Sabah sedang memantapkan barisan pemain termasuk membawa pemain import baharu sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony berkata pasukan itu akan menggunakan khidmat empat pemain import baharu untuk memperkuatkan bahagian pertahanan dan serangan.

Gambar Sabah Football Association

“Kita lihat sendiri Sabah kini mengalami kelonggaran di bahagian pertahanan dan serangan. Oleh itu sudah tentu kita akan mencari pemain yang lebih baik dan berkualiti untuk memastikan kita dapat bersaing sengit dengan pasukan lain dalam Liga Super.

“Perkara untuk membawa pemain import baharu ini sudah dibincangkan di peringkat pengurusan dan kita telah mengintai beberapa pemain yang berkualiti untuk dibawa masuk dalam pasukan ‘Tambadau’,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan antara Sabah dan Perak di Stadium Likas, malam tadi yang berakhir dengan keputusan 1-1.

Mengulas lanjut, Peter berkata pemain import baharu yang akan dibawa masuk tidak semestinya daripada luar negara.

“Ada pemain yang kini berada di Malaysia… contohnya pemain naturalisasi… namun kita juga akan ke negara luar untuk melihat pemain yang hebat dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata selain itu, bagi memantapkan lagi barisan pemain, Sabah bakal mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, termasuk di luar negara bagi memberi pendedahan kepada pemain.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pasukan Sabah dalam saingan Piala Malaysia, Peter berkata pemain telah menunjukkan semangat dan permainan yang baik namun gagal ke peringkat seterusnya.

“Saya tetap berbangga dengan barisan pemain yang mempunyai semangat kental dan sebenarnya kita tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam saingan Piala Malaysia kerana sasaran kita sebelum ini untuk memasuki saingan Liga Super telah tercapai dan apa yang lebih membanggakan kita menjadi juara Liga Premier 2019,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *