Polis Tuaran Tahan Enam Wanita, Empat Lelaki Terlibat Judi Haram

Gambar Hiasan

TUARAN, 20 September: Polis menahan empat lelaki dan enam wanita yang disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian haram dalam serbuan di sembilan lokasi berasingan di daerah ini dan Tamparuli pada 11 September lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata semua yang ditahan dipercayai pengendali serta pelanggan kegiatan judi berkenaan, dan polis turut merampas wang tunai RM2,699 serta pelbagai peralatan digunakan untuk aktiviti perjudian dalam serbuan itu. 

“Antara aktiviti perjudian diserbu membabitkan perjudian jenis tambah nilai secara online, nombor ekor tanpa lesen dan wahui. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) dan 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya pada sidan media di sini, hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh sembilan bulan tahun ini, polis Tuaran telah membuat 87 serbuan judi tidak berlesen di Tuaran dan Tamparuli, melibatkan tangkapan 84 lelaki dan 40 wanita, selain merampas pelbagai jenis peralatan judi dan wang tunai RM37,498.

“Daripada tangkapan dan rampasan itu, 43 kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *