15 Individu Ditahan Berpesta Liar Dalam Hotel Di Sembulan

Antara individu yang berpesta liar di sebuah hotel di Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Polis menahan seramai 15 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika menyertai satu pesta liar di sebuah hotel di Sembulan, di sini, Rabu lalu.

Ketika serbuan yang dilakukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semua mereka dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengambilan dadah.

Polis menahan beberapa lelaki dan wanita yang sedang berpesta liar di sebuah hotel di Sembulan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Polis

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Geogre Abd Rakman berkata, bertindak atas maklumat orang awam mengenai aktiviti pesta liar yang dijalankan dipremis hotel berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan dalam Ops Sarang.

“Hasil serbuan, seramai 17 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, tujuh lelaki dan lapan wanita berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengambilan dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati tujuh lelaki berusia 24 hingga 29 tahun dan lapan wanita berusia 16 hingga 23 tahun positif dadah jenjs ketamin, amphetamine dan methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Geogre berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh 7 September hingga semalam, sebanyak 19 serbuan dilakukan dalam Ops Sarang dengan membabitkan seramai 65 individu ditahan manakala sebanyak 30.16 gram dadah syabu dirampas.

“Semua individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) (ADB) 1952, diikuti Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(A) 1952.

“Ops sarang ini dijalankan secara berterusan di seluruh kawasan di daerah ini bagi tujuan untuk mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap bukan sahaja ahli sindiket pengedaran dadah tetapi juga penagih dikalangan beliau di kawasan Sembulan.

“Bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, usaha sama daripada orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu ditalian 088-529220 atau ke akaun Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu,” jelasnya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *