SANDAKAN: Polis berjaya menahan 13 orang termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan telah menahan secara berasingan 12 lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 23 hingga 42 tahun.
Katanya, semua suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah terbabit ditahan dalam beberapa siri tangkapan sejak 10 Ogos sehingga 10 September lepas.
“Jumlah dadah yang dirampas adalah seberat 167.6 gram disyaki jenis amphetamine (syabu),” katanya.
Mohd Azhar berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Sekysen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, 39A (1) ADB 1952, 39A(2) ADB 1952, 15(1)(a) ADB 1952 dan 12(2) ADB 1952.
“Operasi narkotik akan terus diperhebat terhadap pengedar dan juga penagih dadah di daerah ini,” katanya.