13 Rumah, 2 Masjid Di Petagas Dan Putatan Terjejas Akibat Ribut

Keadaan bumbung masjid yang rosak akibat angin kencang malam tadi, di Kampung Petagas, Putatan

PUTATAN: Sebanyak 13 rumah dan dua masjid terjejas teruk dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat di Petagas, di sini malam tadi.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai, berkata dua masjid yang terbabit ialah Masjid Nur Al Jannah di Kampung Petagas dan Masjid Al Mahabbah di Kampung Muhibbah.

Keadaan rumah yang rosak akibat angin kencang malam tadi, di Kampung Petagas, Putatan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas menjelaskan pihaknya sudah mengadakan lawatan ke lokasi terjejas dan laporan terperinci turut dilakukan bagi mengenal pasti kerosakan.

“Selain 13 rumah yang dikenal pasti terjejas dengan kerosakan membabitkan bumbung diterbangkan angin kencang, dua masjid itu turut mengalami keadaan yang sama.

Keadaan masjid yang rosak akibat angin kencang malam tadi, di Kampung Petagas, Putatan

“Sejak jam 12 tengah malam tadi, angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan ini hingga menyebabkan banyak kerosakan berlaku, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke lokasi terjejas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas, di sini hari ini.

Keadaan kereta yang rosak akibat dihempap tiang besi yang rebah akibat angin kencang malam tadi, di Kampung Petagas, Putatan

Katanya, lawatan itu turut disertai wakil daripada beberapa agensi berkaitan, termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

“Setakat ini, tiada mangsa yang dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS), namun pihaknya akan memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *