Keputusan Kabinet Negeri Haramkan Mesin Slot Di Sabah Muktamad

Jaujan (enam dari kanan) bersama tetamu kenamaan dan peserta yang mengikuti Seminar On Strengthening And Restructuring The Critical And Core Institutions of Democracy in Malaysia From The Perspective of Sabah di Kota Kinabalu. -Gambat SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta semua pihak mematuhi keputusan Kabinet yang mengharamkan perniagaan mesin slot di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuklah pendapat orang awam.

Jaujan (kanan) beramah mesra bersama tetamu kenamaan dan peserta yang mengikuti Seminar On Strengthening And Restructuring The Critical And Core Institutions of Democracy in Malaysia From The Perspective of Sabah di Kota Kinabalu. -Gambat SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Jaujan berkata Sabah bukanlah negeri pertama yang mengharamkan operasi mesin perjudian itu malah beberapa negeri lain di negara ini sudah lama mengaplikasikan undang-undang sama.

“Ia demi kebaikan masyarakat kerana menerusi ketagihan perjudian seumpama ini boleh memudaratkan hubungan suami isteri sehingga berlaku perceraian, hilang fokus kerja dan ada pihak mengalami harta mereka dirampas berikutan berhutang semata-mata untuk memenuhi ketagihan perjudian ini.

“Walaupun lesen bagi mesin slot ini daripada Kementerian Kewangan pesekutuan tetapi kelulusan untuk melaksanakan perniagaan adalah di bawah kerajaan negeri.

“Oleh itu, Kabinet negeri putuskan agar tidak membenarkan lagi mesin slot beroperasi dalam premis perniagaan di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.

“Keputusan ini adalah muktamad dan surat pekeliling sudah dikeluarkan kepada semua PBT terutama dikawasan wujudnya mesin slot berkenaan beroperasi. Kita sudah menjelaskan hal ini dan kerajaan negeri juga sudah mengumumkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk  Seri Mohd Shafie Apdal bagi merasmikan “Seminar On Strengthening And Restructuring The Critical And Core Institutions of Democracy in Malaysia From The Perspective of Sabah”, dekat sini, hari ini.

Ditanya mengenai ramai pemilik premis perniagaan mesin slot mengalami kerugian selain ramai individu hilang pekerjaan berikutan pengharam itu, Jaujan berkata perniaga masih boleh membuka perniagaan lain untuk diceburi yang tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

“Kita sebagai rakyat di negeri ini harus saling menjaga dan setiap apa yang kita lakukan jangan sampai memudaratkan diri sendiri dan keluarga.

“Ini menjadi agenda buat kita, kerajaan baharu untuk memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Hanya peniaga sahaja yang memiliki keuntungan dalam perkara ini namun bukan kebaikkan kepada masyarakat,” katanya. -SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *