Warga Filipina Mengaku Berasal Dari Sabah Dicekup Imigresen

Lapan PATI yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Pulau Lang Tengah, Setiu. FOTO ihsan JIM Terengganu.

‘Mung ada IC dok?’

Mengaku rakyat tempatan berasal dari Sabah bagi mengelak dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu.

Itu taktik lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang fasih bertutur loghat Terengganu ketika diperiksa penguat kuasa JIM dalam Ops Bersepadu di Pulau Lang Tengah, Setiu, Ahad lalu.

Bagaimanapun, rahsia identiti lelaki berusia 46 tahun yang mendakwa bekerja sebagai nelayan itu terbongkar apabila dia gagal menunjukkan kad pengenalan sebelum melarikan diri ke arah pantai dan akhirnya ditangkap penguat kuasa.

Lelaki terbabit antara lapan PATI ditahan hasil serbuan dilakukan sepasukan 18 anggota dan pegawai JIM Terengganu di pulau berkenaan.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, dalam operasi terbabit, enam lokasi diserbu membabitkan resort, restoran dan kafe serta tapak projek pembinaan.

Beliau berkata, pihaknya memeriksa 20 pekerja asing pelbagai negara sebelum lapan daripadanya membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita Indonesia ditahan.

“Pecahan tangkapan adalah dua lelaki Bangladesh, dua lelaki Kemboja, satu lelaki Indonesia, seorang dari Myanmar dan seorang dari Filipina serta satu wanita Indonesia.

“Semua PATI berusia antara 30 hingga 46 tahun terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk tindan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana langgar syarat pas,” katanya.

Harian Metro