“Suami Uzur Kanser Usus, Anak Pula OKU” – Tular Ibu Usia 60 Tahun Jadi Pemandu Grab Di Labuan

Fedtri merakam gambar Misnah ketika menggunakan perkhidmatan Grab dikendali wanita berkenaan.

LABUAN: Usianya sudah mencecah 60 tahun, namun atas dasar tanggungjawab dan kasihan terhadap suami yang sedang bertarung akibat kanser usus, seorang wanita nekad mengambil alih tugas keluarga menjadi pemandu Grab bagi menampung kehidupan harian.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan tugas berkenaan bukan sesuatu yang mudah, malah Misnah Chuminin berdepan satu lagi cabaran untuk menjaga anak lelaki orang kurang upaya (OKU), Zulfaizan Umar, 31.

Misnah (dua dari kanan) dan Umar ketika menerima kunjungan kakitangan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hari ini.

Segala-galanya terletak di bahu Misnah serta anak bongsunya, Mohd Firdaus, 27, yang bekerja sebagai penghantar barang untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Ketika berkongsi kisah dilalui, Misnah berkata, dia bekerja sebagai pemandu Grab sejak setahun lalu selepas suaminya menghidap kanser tahap tiga hingga sukar melakukan kerja berat.

Katanya, bermula dari situlah dia berusaha mencari kerja bagi menampung kehidupan harian, tetapi malangnya permohonan ditolak disebabkan faktor usia.

Selepas usaha hampir menemui jalan buntu, suaminya, Umar Kari, 62, mencadangkan supaya dia menjadi pemandu Grab.

“Saya membuat permohonan dan Alhamdulillah diterima bekerja. Saya bersyukur sangat walaupun sudah berusia dan sekurang-kurangnya pendapatan diperoleh membantu keluarga.

“Sepanjang menjadi pemandu Grab, ada pelanggan terkejut melihat saya dan tidak kurang bertanya mengenai latar belakang keluarga.

“Mereka mungkin hairan kerana faktor usia namun masih bekerja, lebih-lebih lagi menjadi pemandu.

“Saya tidak kekok bekerja kerana sebelum dan selepas berkahwin, saya pernah bekerja di kilang, hotel dan sebagainya. Saya memegang memiliki lesen memandu sejak 40 tahun lalu dan sudah biasa apabila berada atas jalan raya,” katanya yang menetap di Kampung Laja, Labuan.

Misnah tular di media sosial selepas seorang penumpangnya Fedtri Yahya mengambil gambar wanita itu ketika menggunakan khidmat Grab sebelum memuat naik ke Facebook miliknya.

Fedtri menulis status: “Coretan Labuan. Pemandu Grab wanita usia 60an. Suami uzur kanser usus dan glaukoma. Anak sulung OKU (mental). Subhanallah, dia antara wanita yang diuji. Tiap tutur bicaranya tenang dan tertib.

“Kalau ada yang mungkin nanti naik keretanya, hulurkan seikhlas bantuan tanda ummah bersaudara (walau dia tidak meminta)…@Labuan.”

Sementara itu ketika ditanya mengenai sambutan diterima, Misnah berkata, Labuan tidaklah sebesar negeri lain dan sudah tentu pendapatan bergantung kepada musim.

“Jika hari biasa, pendapatan ada tapi tidaklah sebanyak ketika musim cuti. Sekurang-kurangnya lepaslah untuk perbelanjaan kami selain dibantu anak bongsu.

“Saya memikul tugas ini kerana keadaan suami agak terbatas. Dulu suami kerja sendiri tetapi sekarang, dia sudah tidak boleh bekerja berat,” katanya.

Misnah berkata, kesan daripada penyakit kanser itu menyebabkan suami kerap cirit-birit.

Katanya, sebelum ini suaminya pernah menjalani pembedahan mata kerana penyakit glaukoma menyebabkan kedua-dua selaput mata dibuang.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *