Esscom Cadang Bot Pam Didaftar Dan Warna Mengikut Daerah

Hazani menunjukkan gambar bot pam dinaiki dua penjenayah warga asing yang ditembak mati di perairan Felda Sahabat. Foto Hazsyah Abdul Rahman

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mencadangkan supaya semua bot pam didaftarkan sepenuhnya dan diwarnakan mengikut daerah.

Ia susulan kejadian dua penjenayah warga asing bersenjata menaiki bot pam yang berjaya ditembak mati pasukan keselamatan di perairan Felda Sahabat, Selasa lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, selagi peraturan itu tidak diwujudkan, bot pam akan digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, dalam masa sama, pihaknya mahu mewujudkan kod warna bot pam berdasarkan daerah di negeri ini.

“Kalau kita tidak buat kod warna dan daftarkan sepenuhnya bot pam, beginilah jadinya.

“Sewenang-wenangnya bot pam diguna pakai. Jika kita sudah daftarkan dan buat kod warna, kita dapat kenal pasti dari lokasi mana sesebuah bot itu datang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Hazani berkata, disebabkan itu beliau sangat bersetuju untuk mencadangkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya menguatkuasakan peraturan mewajibkan bot pam didaftarkan.

“Tujuannya supaya kita mudah mengetahui dari mana-mana bot-bot pam ini datang.

“Kita boleh tahu dengan cepat kalau bot pam itu datang dari Kunak ke Lahad Datu atau bot Lahad Datu pergi ke Kota Kinabalu,” katanya

Terdahulu, dalam kejadian 11 malam itu, dua lelaki warga asing berusia 30 hingga 40 tahun yang menggunakan bot pam ditembak mati pasukan keselamatan.

Bot pam mempunyai kelebihan berbanding bot berenjin sangkut kerana dapat digunakan di perairan cetek.

Disebabkan itu, ia dipercayai menjadi pilihan terbaik untuk digunakan penjenayah rentas sempadan.

Penggunaan bot pam di Sabah pernah diharamkan, namun dibenar untuk digunakan semula pada tahun lalu.

Bagaimanapun, bot-bot pam ini tidak didaftarkan sepenuhnya yang secara langsung memberikan kesukaran kepada pasukan keselamatan mengenalpasti bot terbabit sama ada bot tempatan atau tidak.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *