Azis Kongsi Pengalaman Malaysia Cegah Keganasan Dalam Persidangan Antarabangsa

KOTA KINABALU: Kejayaan Malaysia dalam memerangi aktiviti keganasan melalui pencegahan di peringkat akar umbi menerima pengiktirafan apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman diberi penghargaan mewakili negara berucap dalam persidangan antarabangsa mengenai ekstremisme di Minsk, Belarus semalam.

Dalam Persidangan Antarabangsa Tahap Tinggi Bagi Memerangi Keganasan yang bertajuk Memerangi Keganasan Melalui Pendekatan Berinovasi dan Penggunaan Teknologi Terbaharu itu, Mohd. Azis menerangkan kepada setiap negara peserta bagaimana kejayaan Malaysia menangani ideologi ekstremisme daripada berkembang di negara ini.

“Timbalan Menteri Dalam Negeri telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan pada sesi persidangan tersebut mengenai pengalaman serta usaha yang giat dilaksanakan oleh Malaysia bagi mengekang penyebaran ideologi ekstremis dan keganasan melalui inovasi teknologi baharu serta media sosial di Malaysia.

“Malaysia menegaskan bahawa segala usaha memerangi keganasan yang telah dilaksanakan akan lebih berkesan jika punca di akar umbi dapat dikenal pasti dan dihapuskan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, ucapan Mohd. Azis adalah selari dengan penegasan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-73 pada 29 September tahun lalu.

Katanya, penyertaan Malaysia di persidangan selama dua hari bermula Selasa itu menggambarkan komitmen Malaysia memerangi keganasan bersama Pejabat PBB Berkaitan Counter Terrorism (UNOCT).

“Penyertaan daripada pelbagai negara termasuk negara anggota ASEAN dilihat berjaya mengukuhkan hubungan Malaysia dengan negara luar serta organisasi antarabangsa PBB dengan menerokai inisiatif-inisiatif baharu, dan mempelajari pengalaman dalam bidang-bidang berkaitan keselamatan terutamanya melibatkan jenayah keganasan,” kata kementerian itu.

BorneoToday