Seorang Anggota Tentera Disiasat

Haris Ibrahim

PENAMPANG: Seorang anggota tentera disiasat berhubung insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim, dalam satu kenyataan, berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang melakukan acara persembahan tembak sempena Majlis Perbarisan Pelancaran Divisyen ke-5 Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.

“Ketika kejadian mangsa tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter menggunakan senjata api ketika acara persembahan tembak di majlis berkenaan,” katanya.