KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi yang menimpa pegawai 11 Rejimen Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat ketika mengesahkan kejadian itu, berkata latihan demonstrasi keupayaan berkenaan sudah dilaksanakan bermula 26 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, ketika pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa berkenaan.
“Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara ini serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada TDM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut berkata, Ahmad Hasbullah juga menyifatkan Allahyarham meninggal dunia ketika bertugas dan besar pahalanya.
“TDM sangat menyayangi Allahyarham namun Allah lebih menyayangi beliau. TDM sudah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan waris,” katanya.
Terdahulu, BH melaporkan, acara pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, TDM di Kem Lok Kawi, pagi tadi, bertukar tragedi apabila seorang pegawai yang melakukan gimik operasi maut terkena tembakan.
Kejadian berlaku pada jam 8.40 pagi apabila mangsa, Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, berlakon sebagai pengganas dengan memakai baju kalis peluru dan ditembak.
Bagaimanapun, tembakan itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah sebelum diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.- BERNAMA