Didenda RM5,000 Kerana Sembelih Babi Secara Haram

Sekadar Gambar Hiasan

MERSING: Seorang tukang sembelih didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana membuat penyembelihan babi tanpa permit sah di tepi Jalan Jemaluang, bulan lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Mazana Sinin selepas tertuduh, Lim Hock Chai, 58, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Hock Chai, yang juga pemilik premis tidak bernombor tempat penyembelihan babi haram didapati memiliki karkas babi seberat 96 kilogram (kg) yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan yang dilesenkan.

Tertuduh didakwa mengikut sub Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953 (Pindaan) 2013 [Akta A1452], yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, Mohd Faiz Ajis manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pada 10 Julai lalu, kira-kira jam 4.25 pagi, pihak berkuasa veterinar dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor membuat satu pemeriksaan ke atas sebuah premis tidak bernombor, tempat penyembelihan babi haram tepi Jalan Jemaluang, Mersing.

Dalam pemeriksaan itu, tertuduh didapati memiliki sebanyak 96kg karkas babi yang tiada tanda selar atau lagenda jabatan serta tiada Perakuan Kesihatan Veterinar dan Perakuan Kebenaran Sembelih dari Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor atau pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Oleh itu, pihak berkuasa veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor bertindak mengambil milik 96kg karkas babi dan dua bilah pisau, selain satu salinan borang ambil milik diserahkan kepada pemilik setelah diperakukan.

Semua karkas babi sudah diperiksa dan disahkan tidak sesuai dijadikan makanan manusia dan disyorkan untuk dilupuskan oleh pegawai veterinar Johor.

Perintah mahkamah mengikut Subseksyen 68(2) dan 68(3), Akta Binatang (Pindaan) 2013 [Akta A1452] diperoleh untuk tujuan tahanan, pemeriksaan kesihatan karkas, pelupusan dan siasatan ke atas barang kes yang ditahan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *