Ustaz Dikhuatiri Lemas Di Kota Belud

Bot mangsa ditunda ke jeti berhampiran. (Gambar kecil) Sharil. Foto Recqueal Raimi Recqueal Raimi

KOTA BELUD: Lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama bapanya terbalik dipukul ombak dalam kejadian di perairan Nanamun, di Kota Belud, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa, Sharil Basir, 28, yang bekerja sebagai ustaz di sebuah sekolah agama daerah, dikatakan bersama bapanya menaiki bot ke lokasi berkenaan untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun, angin kencang disusuli ombak kuat menyebabkan bot yang dinaiki dua beranak itu terbalik.

Difahamkan, hanya bapa mangsa yang berusia 52 tahun berjaya berenang ke jeti Kampung Batu Gadong, Tamau, sebelum meminta bantuan daripada pihak berkuasa, manakala mangsa gagal dikesan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, 8.05 pagi.

Beliau berkata, lapan anggota bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan bot penyelamat.

“Mangsa masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Setakat ini, bot mangsa ditemui dalam keadaan terbalik dan sudah ditunda ke jeti berhampiran,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Syazwan meminta orang ramai terutamanya nelayan supaya melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menemui mangsa.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dikatakan berpakaian baju berwarna hitam.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *