Teliti Lebih Mendalam Status Kampung Otentik – Mohd Shafie

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melawat mangsa kebakaran di Kampung Otentik, hari ini. – Foto BESTAWAUfm

TAWAU: Kerajaan negeri akan meneliti lebih mendalam status perkampungan di Kampung Otentik, Tanjung Batu, di sini, susulan kebakaran memusnahkan lebih 60 rumah, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata antara perkara akan diberi perhatian ialah mewartakan kawasan kampung yang sudah lama menjadi penempatan penduduk.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan jangka panjang perlu diberi perhatian dan keutamaan, termasuk memastikan susun atur rumah di kawasan perkampungan memenuhi kriteria ditetapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Kebelakangan ini, banyak kes kebakaran berlaku yang berpunca daripada penyambungan elektrik secara haram, selain pembinaan rumah terlalu rapat menyebabkan kebakaran sukar dikawal,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Otentik, hari ini.

Beliau yang turut ditemani isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib, kemudian menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengarahkan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Amrullah Kamal, bersama ahli jawatankuasa bencana daerah meneliti beberapa perkara sebelum kebenaran diberi kepada mangsa untuk membina semula rumah di tapak yang sama.

“Kita tahu perkampungan ini wujud sejak 1970-an lagi, sudah pasti penduduk tidak ada tempat lain sebelum dapat membina semula rumah mereka. Justeru, kita akan berusaha mengatasi masalah ini dalam masa terdekat. Apa yang lebih penting sekarang ialah keselamatan semua mangsa,” katanya.

Berita Harian

25