Tiada Kompromi Terhadap Lori Mengangkut Balak – Perhutanan Sabah

SANDAKAN, 29 Ogos: Jabatan Perhutanan Sabah tidak akan berkompromi dengan lori balak yang membawa kenderaan secara berbahaya di jalanraya.

Ketua Konservator Hutan Datuk Mashor Mohd Jaini berkata jabatan itu memandang serius isu keselamatan berkaitan pengangkutan balak di jalan-jalan awam di negeri ini. 

“Tidak ada lagi kompromi terhadap lori-lori yang mengangkut balak dengan cara yang berbahaya dan tidak mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan.

“Jika ada lori dan syarikat pengangkutan ini yang ingkar, mereka akan menghadapi tindakan yang tegas termasuk denda kompaun yang berat, tindakan mahkamah dan pengharaman daripada mengangkut balak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mashor berkata pihaknya telah mengadakan dialog antara agensi penguatkuasa dan persatuan pengusaha pengangkutan lori di negeri ini baru-baru ini untuk memastikan lori-lori yang menggunakan jalanraya awam tidak membawa muatan balak dengan cara yang membahayakan dan mematuhi spesifikasi lori dan had muatan seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada dialog itu, beliau menegaskan keselamatan pengguna jalanraya harus menjadi keutamaan syarikat pengangkutan berbanding keuntungan semata-mata.

“Semua syarikat pemilik lori yang mengangkut balak hendaklah memastikan lori mereka memiliki cukai jalan yang sah, didaftarkan nombor siri FD dengan Jabatan Perhutanan dan disahkan selamat untuk digunakan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Lori juga perlu dipandu oleh pemandu kompeten yang memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) yang sah dan bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Selain itu, Mashor berkata muatan balak di atas lori hendaklah dipastikan selamat, mengikut dimensi ukuran dan berat yang dibenarkan dan ditutup sepenuhnya dengan kanvas dan perjalanan lori di jalanraya diurus masa perjalanannya pada waktu dan laluan yang sesuai supaya tidak menyulitkan pengguna jalanraya yang lain.

Beliau juga mengingatkan netizen kini lebih peka dan sentiasa memberi perhatian tentang cara lori mengangkut balak.

Tambahnya, JPJ, polis trafik dan Jabatan Perhutanan akan sentiasa bekerjasama membuat operasi dan pemeriksaan untuk memastikan semua peraturan dipatuhi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *